Seorang lelaki, Shi Zhiyong, 35, sanggup tinggal di dalam gua yang gelap gelita dan sempit sejak enam bulan lalu semata-mata untuk membolehkan dia berjimat dan menghantar lebih banyak wang kepada keluarganya di wilayah Hebei.
Agensi berita Xinhua melaporkan, Shi bekerja untuk menyara ibu, bapa, isteri dan dua anaknya.
Menurut laporan itu, lelaki berkenaan mengambil keputusan untuk bekerja di bandar Jinan yang jauh dari kampungnya kerana ia menawarkan gaji lebih tinggi berbanding bekerja di bandar Handan di wilayah Hebei.
“Di Jinan, saya memperoleh 3,000 yuan (RM1,700) sedangkan di tempat asal saya, pekerjaan yang sama menawarkan gaji 1,800 yuan (RM1,050),” katanya.
Shi sebelum ini membelanjakan 200 yuan (RM116) daripada gajinya untuk bayar sewa bilik, talian telefon bimbit dan arak sementara makan dan minum hariannya ditanggung majikannya.
Apabila menemui gua sedalam 10 meter itu September lalu, dia mengambil keputusan untuk tinggal di dalamnya supaya dia tidak perlu menyewa bilik dan berjimat sebanyak 100 yuan (RM58) lagi.
Bagaimanapun, dia tidak memberitahu keluarganya mengenai gua itu, sebaliknya berkata, dia menginap di asrama syarikat atau hotel.
Menurutnya, dia bangun jam 6 pagi setiap hari dan menggunakan tandas syarikat untuk mandi. Apabila pulang, dia akan mandi di tandas awam yang terletak berhampiran gua itu. - Agensi
No comments:
Post a Comment