Sharjah (Emiriah Arab Bersatu): Satu hidangan burger mencipta rekod sebagai burger paling mahal di dunia apabila dijual pada harga mencecah AS$7,000 (RM25,976) dalam satu acara lelongan amal di sini, kelmarin.
Acara lelongan amal yang berlangsung di pusat beli-belah Dubai Mall di sini, itu dianjurkan bagi mengutip dana untuk sebuah pertubuhan mencegah kanser payudara, Pink Caravan.
Burger istimewa itu disediakan Pengerusi Jabatan Statistik dan Pembangunan Komuniti Sharjah, Sheikh Mohammed Bin Abdullah Al Thani juga duta Pink Caravan.
Hidangan burger paling mahal sebelum ini djual pada harga AS$5,000 (RM18,554) dalam satu acara lelongan di Las Vegas, Amerika Syarikat.
Beberapa lagi duta pertubuhan itu dipecahkan kepada beberapa kumpulan untuk menyediakan hidangan burger mereka sebelum melelongkan kepada pembida.
Bagaimanapun, identiti pembida yang membeli hidangan burger paling mahal di dunia itu tidak didedahkan.
Jawatankuasa penganjur Pink Caravan mengumumkan bahawa aktiviti amal itu berjaya mengutip dana AS$19,650 (RM72,921).
Pengasas Pertubuhan Rakan Pesakit Kanser, Ameera Bin Karam berkata, beliau sangat bangga dengan sokongan yang diberikan penderma dan duta Pink Caravan pada program berkenaan.
“Tanpa sokongan mereka ini (penderma dan duta) Pink Caravan tidak dapat mencapai misi mereka,” katanya.
Menurutnya, Pink Caravan menyediakan beberapa pusat perubatan bergerak untuk menjalankan pemeriksaan terhadap wanita bagi mengesan tanda awal kanser payudara. - Agensi
No comments:
Post a Comment